
Saya ingin menceritakan serba sedikit mengenai kakak saya.
Ketika kami kanak-kanak, kakak saya suka menyakitkan hati saya. Dia sering mengusik dan mengejek saya sehingga saya berasa tertekan. Pada suatu hari, kakak saya mengusik saya sehingga saya hilang sabar. Tatkala dia sedang berjalan ke arah bilik tidurnya, saya hilang kawalan dan menerkam ke arahnya dengan mulut terbuka. NGAP! Saya menggigit bontotnya sekuat hati. Kakak saya menjerit. Saya berasa puas.
(Walaupun saya telah menceritakan kisah ini berberapa kali, saya tetap mahu mengulanginya, sempena hari yang istimewa ini).
Satu objek yang dikongsi oleh saya dan kakak saya merupakan kereta Kembara berwarna merah. Kakak saya menggunakannya ketika dia sedang menuntut di Kolej Sunway. Setelah dia berangkat ke negara asing untuk meneruskan pelajaran, saya pula menggunakan kereta tersebut. Kereta ini menjadi punca perbalahan antara kami pada suatu masa. Kakak saya telah menamakan kereta tersebut 'Sascha', tanpa meminta persetujuan saya. Saya tidak puas hati apabila mendapat tahu tentangnya ("Apa KEJADAHNYA kereta ini dinamakan Sascha?!"), maka saya pun memberi nama baru kepada kereta itu, iaitu 'Madeleine'. Walau bagaimanapun, sekarang setelah memikirkannya semula, saya tidak suka akan nama 'Madaleine'. Saya berpendapat kereta itu harus diberi nama baru yang melambangkan kegagahan(kerana warnanya yang merah). Apa kata kita berikan nama Melayu kepadanya?
Ha, saya telah mendapat ilham. Mari kita namakannya 'Keris Merah'. Saya rasa begitu sesuai. Tapi janganlah kita hilang fokus utama post ini, iaitu untuk megupas tentang kakak saya.
Kakak saya seorang yang bijak. Sepanjang hayatnya(yang InsyaAllah masih panjang), dia sering mendapat keputusan cemerlang untuk semua peperiksaannya yang utama(peperiksaan percubaan tidak termasuk). Bak kata orang putih, dia sentiasa lepas dengan warna-warna berterbangan. Dia baru sahaja selesai mendapat ijazahnya daripada universiti yang berprestij(adakah wujud perkataan 'prestij'? saya tidak pasti) dalam bidang undang-undang. Dia juga merupakan seorang yang sangat aktif, dan sentiasa terlibat dalam pelbagai aktiviti . Dia telah memenangi pelbagai pertandingan dan anugerah sepanjang zaman persekolahannya dan juga ketika dia menuntut di kolej dan universiti. Saya sungguh bangga dengan semua kejayaannya, walaupun perasaan bangga itu sering bercampur-aduk dengan perasaan cemburu yang teramat. Bak kata orang putih(sekali lagi), saya hijau dengan cemburu.
Kakak saya juga mempunyai minat dan hobi-hobi yang menarik. Dia seorang yang sangat suka akan muzik, dan telah menghadiri banyak konsert yang dianjurkan oleh pelbagai pasukan pancaragam(band) ketika dia di negara penjajah, termasuk Coldplay, Radiohead, We Are Scientists, dan sebagainya.
Nota rambang: Cubalah terjemahkan semua nama pancaragam yang disebut di atas ke dalam bahasa melayu. sungguh menggelikan hati, bukan?
Kebanyakkan artis yang saya minati telah diperkenalkan oleh kakak saya. Saya terhutang budi kepadanya di atas perkara ini.
Selain itu, kakak saya suka membaca. Tetapi ini suatu hobi yang sudah biasa didengari dan tidak menarik, maka saya tidak akan menyentuh tentangnya secara mendalam. Pendek kata, dia telah menghabiskan beratus-ratus buku. Ok, isi seterusnya.
Tapi sebelum itu, gambar yang cantik:

Kakak saya juga gemar menari tarian buaian!(swing dance). Pada pendapat saya, ini adalah satu hobi yang sangat hebat. Dia mempelajari cara menari tarian buaian ketika di universiti, dan sungguh giat menghadiri acara-acara menari buaian secara beramai-ramai. Malah, dia pernah menjejak kaki ke Sweden(ataupun negara IKEA) semata-mata untuk menghadiri bengkel tarian buaian. Walaupun saya tidak pernah melihatnya menari dengan mata saya sendiri, saya yakin dia seorang penari buaian yang mantap.
Ok, beralih pula ke agenda yang serius. Walaupun kakak saya pernah membuatkan saya sungguh marah hingga menggigit bontotnya, dia juga telah banyak membantu saya seumur hidup. Tatkala saya sedih, dia merupakan satu-satunya manusia yang boleh memujuk saya dengan kata-kata yang tepat. Niat saya bukan untuk berkata kawan-kawan saya memberi kata-kata yang salah, oh tidak. Maksud saya di sini adalah kakak saya memahami saya secara lebih mendalam dan mampu memahami situasi yang dihadapi oleh saya.
When I'm sad, she knows how i feel, and says the things i need to hear. She gets it right, every time. It may be cool to have a sister who went to LSE, who listens to good music, is outstanding in whatever she does and wherever she goes, and does something out of the ordinary like swing dancing. But at the end of the day it comes down to the fact that I have a sister who I can laugh with, who helps me unconditionally, and is there for me when i need her.
Saya bersyukur kerana mempunyai kakak sepertinya.
Hari ini merupakan ulangtahun hari jadi kakak saya yang ke dua-puluh tiga. Apabila saya cuba menelaah situasi ini, saya kadang-kala tergamam. Kakak saya sudah berumur 23? Ya Allah. Dia sudah dewasa. Adakah ini bermaksud saya sendiri juga sudah dewasa?
Ah, tidak mengapa. Soalan itu boleh di jawab di lain hari(dan lain bahasa). Yang penting di sini, hari ini ulangtahun hari lahir kakak saya.Satu perkara yang saya perhatikan sepanjang masa berlalu adalah bahawa semakin umur kita meningkat, ulangtahun hari lahir kita semakin kurang istimewa, dan tidak berebeza dengan hari-hari yang lain. Tetapi saya berpendapat hari lahir kakak saya harus disambut dengan seberapa meriah yang boleh. Biar meriah sampai mengalahkan hari jadi saya yang ke-sembilan, di mana saya memakai skirt kembang dan mengadakan parti serta mendapat pelbagai hadiah, termasuk anak patung Barbie yang mempunyai mekanisme beroda yang membolehkannya bergerak seperti sedang menari tarian bilik bola(ballroom dancing).
Happy birthday,kak. You deserve an awesome one.